http://2.bp.blogspot.com/_sYx8LhsF1y0/STIDKLut6QI/AAAAAAAAAsI/cBo6xn7s-
Raja Tak Berdaya
2/27/2009 06:54:00 PTG | Author: yus_anakmelayu
Wahai Raja
Kau punya kuasa
Kau punya kekuatan
Kau dilindungi

Jutaan pihak memelukmu
DBP,GAPENA,PRIHATIN
Bermacam akta memimpinmu
152(1), 152(6), 17(1)

Tapi mengapa kau masih lesu?
Tunduk dan longlai di bumi sendiri
Ah! Aku sedar kini
Kau punya menteri yang lupa diri
Tiada identiti
Mementing harta lebih darimu

Raja
Kau sememangnya tak berdaya

yus_anakmelayu (25/2/2009)


p/s : nukilan sajak yang agak biasa. Saya tak pandai buat sajak =). Tapi itulah rasa hati saya tentang bagaimana kedudukan bahasa Melayu sekarang yang ditinggalkan oleh bangsanya sendiri.
Saya Rasa Awak Tidak Peduli – Faisal Tehrani
2/26/2009 04:48:00 PTG | Author: yus_anakmelayu

Pada 30 Oktober 1966, PBMUM (Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya) telah menganjurkan Seminar Bahasa Kebangsaan. Ekoran itu satu rapat umum mencabar kejujuran Tunku Abdul Rahman melaksanakan bahasa kebangsaan dalam pemerintahan beliau telah dianjurkan.

Awak pedulikah agaknya yang bahasa Melayu telah menjadi alat perhubungan dan pengucapan bermakna sejak zaman Kesultanan Melayu lagi. Francois Valentyn mencatitkan dalam bukunya Aud en Nieuw II Del V bahawa pada akhir abad 17 dan abad ke 18, bahasa Melayu adalah bahasa yang paling bermartabat di seluruh kota pelabuhan di kepulauan Melayu. Jika seseorang tidak mengetahui bahasa Melayu seolah-olah dia tidak mengerti apa-apa pun.

Ya, tapi awak Melayu memang selalu berasa diri kecil, awak berasa dengan mengucapkan bahasa Inggeris misalnya, awak lebih berdarjat. Awak, tidak peduli. Awak akan buat pelbagai alasan untuk mengenepikan lidah bahasa bangsa.

Bahasa Melayu telah mendapat perhatian luar biasa seawal tahun 1522. Ini bukan fakta main-main. Antonio Pigafetta, seorang pelayar berbangsa Itali dari Vicenta telah menyusun sebuah kamus kecil hasil penjelajahannya di laut Melayu selama tiga tahun. Kamus tersebut bernama Vokabell De Quedti Populi Mori. Pigafetta belayar bersama pelaut Barat yang tersohor si Ferdinand Magellan. Tentu, daftar kata Melayu itu hanya berjumlah 400 patah perkataan tetapi ia membuktikan bahawa bahasa Melayu adalah sebuah bahasa yang agung dan perkasa hingga menggiurkan orang Barat.

Catatan Jan Huyghen Van Linechotten yang pernah tinggal di Indonesia antara tahun-tahun 1586 hingga tahun 1592 pula membuktikan bahasa Melayu adalah bahasa yang bukan calang dihormati. Umpama yang dibuat untuk mereka yang tidak mengetahui bahasa Melayu pada waktu itu ialah ibarat orang Belanda yang bebal tidak tahu berbahasa Perancis di Eropah.

Duhai agamawan, saya rasa awak tidak peduli bahawa orang Cina memanggil bahasa Melayu sebagai kun lun sementara orang India menggelar bahasa Melayu sebagai dwipantara. Bahasa Melayu adalah bahasa tamadun. Sejak zaman Seriwijaya lagi kedaulatan bahasa Melayu amat utuh tak digugat sama sekali. Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa kuliah agama Buddha di sebuah pusat pengajian Seriwijaya zaman abad ketujuh. Ini dirakamkan oleh pendeta Cina I Tsing.

Duhai ustaz dan ustazah yang tdak peduli, Ibnu Batuttah dalam Rihlah Ibnu Batuttah mencatat kesungguhan penghuni Perlak menggunakan bahasa Melayu untuk perkembangan agama Islam. Kedatangan Islam telah mengubah paksi keistimewaan bahasa Melayu dan mengangkatnya ke taraf yang paling wajar. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa ilmu. Sekolah-sekolah pengajian agama yang melata di Pattani sehingga membiaknya pesantren di Jawa atau pondok yang bercambahan di Kedah merata santak ke Acheh dengan pembukaan zawiyah demi zawiyah. Islam telah mengangkat bahasa Melayu dari sebuah bahasa pasar di pelabuhan, sebuah bahasa umum yang tiada kepentingan kepada sebuah bahasa yang menyatukan umat dan bahasa yang cermat digunakan sebagai akar hujah falsafah, debat pengajian dan buah fikiran manusia tamadun alam Melayu. Semua itu dikukuhkan dengan perkembangan tulisan Jawi.

Ustaz kita tidak peduli kerana seingat saya, dahulu para ulama dan tokoh bahasa bahu membahu memperjuangkan bahasa Melayu. Tokoh bahasa termasuklah para ulama telah bertungkus lumus menulis kitab dalam bahasa Melayu lantas membantu penyebaran bahasa ini ke seluruh rantau. Kita perlu berterima kasih dengan Syeikh Abdur-Rauf Singkel, Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Muhammad Zain al-Faqih Jalaluddin, Syeikh Muhammad Khatib, Mohd Yusoff Kenali, Syeikh Daud bin Abdullah dan ramai lagi kerana menolongkan perkembangan bahasa Melayu.

Awak agaknya tidak peduli, awak tidak tahu sejarah. Jahil. Bahasa Melayu jangan dinafikan kebolehannya untuk menjadi bahasa pengantar dalam pendidikan kerana sejarah membuktikan tamadun Greek dan Roman dilanda strok mengejutkan setelah kemalapan bahasanya.
Juga ingatan bahawa bahasa Sepanyol, Perancis dan Inggeris tersebar jauh kerana penerokaan dan penaklukan Barat.

Awak mungkin ingat-ingat lupa yang satu dasar kebudayaan kebangsaan telah berhasil digubal untuk negara Malaysia dalam tahun 1971. Begitu berhasilnya perjuangan orang dulu, dari Bahasa Melayu kuno yang terdapat pada prasasti bertulisan Pallawa antara abad ketujuh dan sembilan; kedatangan Islam mencambahkan lagi kecemerlangan bahasa Melayu seperti dinukil oleh Syeikh Abdullah Arif dalam Bahr al-Lahut. Jangan lupa pula Hikayat Raja Pasai yang dipercayai selesai dikarang tahun 1326, ia menunjukkan bahasa Melayu telah diterima pakai sebagai bahasa ilmu dan bahasa medium pendidikan yang gah lagi gagah. Bahasa Melayu telah lama menikmati taraf lingua-franca lama sebelum ketibaan pedagang Arab dan Islam tetapi akidah Islam telah melonjakkan keupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dengan tiga kaedah iaitu melalui kegiatan penulisan, menerusi perintah dan sokongan pemerintah atau istana dan melalui penubuhan institusi pendidikan yang mendokong bahasa Melayu seperti langgar, rangkang, madrasah dan sebagainya.

UMNO tidak peduli. Hari ini institusi pendidikan kita di bawah sebuah parti bernama UMNO, yang selepas pilihanraya lalu berhasrat untuk ingin terus relevan dalam kalangan orang Melayu telah meneruskan dan melakukan onar. Mereka khianat terhadap ulama yang mengembangkan bahasa Melayu. Khianat terhadap tok nenek mereka sendiri. Khianat terhadap sejarah bangsa sendiri. Dan bila khianat terhadap sejarah, mereka juga khianat tehadap masa depan bangsa. Kerana tidak ada masa depan yang terpisah dari masa lalu.

Kalian semua tidak peduli kalau kita sebagai sebuah bangsa terlungkup dan karam. Hilang jati diri. Sedang bangsa-bangsa lain kekal mempertahankan bahasa masing-masing. Tulisan Jawi kita telah hilang. Tetapi tulisan Cina dan India kekal dalam dakapan anak bangsanya.

Awak pedulikah, kalau saya katakan kedatangan penjajah secara tersusun telah mencabar kemuliaan bahasa Melayu. Dasar Inggeris sebelum kemerdekaan ialah pecah dan perintah dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa vernakular dalam sistem pendidikan yang berasaskan kaum. Bahasa Inggeris dimajukan sebagai bahasa pengantar sekolah elit untuk anak bangsawan. Saya tekankan kalimat ‘bangsawan’. Saya ingin mengingatkan anak-anak bangsawan yang akan memerintah UMNO mulai Mac ini supaya sedar diri. Dan menyeru kalian jangan menafikan usaha dan keringat tokoh seperti Harun Aminurrashid, Abdullah Sidek, Mahmud Ahmad, Ahmad Bakhtiar dan Ahmad Murad Nasaruddin selain Pak Sako dan Ahmad Boestamam yang mengimpikan kedaulatan bahasa Melayu. Janganlah kita jahanamkan usul Mohd Ariff Ahmad dalam memorandum Asas 50 kepada kerajaan, memorandum yang dipimpini dan ditandatangani oleh Keris Mas dan Usman Awang. Usahlah kita kembali kepada titik hitam sejarah negara dalam tahun 1969 kerana salah satu faktor kejadian keji itu terjadi ialah kerana kegagalan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan. Tokoh-tokoh terdahulu telah melakukan terlalu banyak.

Jangan jahil menjadikan Singapura sebagai contoh, kerana adalah amat tidak wajar kita merujuk sebuah negeri kecil yang masih mencari identiti serta tidak bertemu jati diri.

Tamadun Parsi, India, Mesopotamia, Cina, Jepun malahan tamadun Melayu sendiri berjaya dan telah membuktikan keupayaannya dengan menjadikan paksi keunggulan tamadun menerusi bahasa ibunda sebagai tunjang.

Berhenti tidak peduli. Jangan biar bahasa Melayu pudar dan hilang seperti tulisan Jawi. Jangan. Saya merayu supaya jangan tidak peduli.

Marilah kita peduli.

Bak kata Allahyarham Usman Awang: 'Anak Melayu, namamu telah diseru, jawablah sebelum lidahmu jadi bisu.'

Tarikh: 24/2/09
SUmber: http://tehranifaisal.blogspot.com/2009/02/peduli.html