http://2.bp.blogspot.com/_sYx8LhsF1y0/STIDKLut6QI/AAAAAAAAAsI/cBo6xn7s-
Coretan Tanpa Idea
1/24/2010 04:09:00 PG | Author: yus_anakmelayu
Assalamualaikum....
Mengapa terasa seolah-olah kosong fikiranku? Tidak tahu apa harus aku luahkan dalam entri kali ini. Menulis sekadar ingin meregang-regangkan jari-jemari kasar. Dua minggu terakhir ini, banyak juga sebenarya perkara yang berlaku. Kejohanan Silat terbuka dan IPTA Taming Sari II anjuran UKM baru sahaja melabuhkan tirai. Sudah tertulis, pingat perak milik aku, alhamdulillah. Semoga kejohanan di UPSI akan lebih baik! amiin...
Dalam beberapa hari ini ada satu persoalan bermain dalam fikiran. Mudah sahaja; adakah orang yang "sepertiku" ini layak didampingi seorang yang bergelar ustazah atau yang sejenis dengannya? Maksudku, wanita yang baik-baik. Menyedari hakikat diri sangat lagho, memang sukar membayangkan bagaimana wanita dari golongan ini boleh mendampingiku @ ingin mengenaliku.
Apapun, soal jodoh, soal rezeki(aku masih mencari pekerjaan), aku serahkan pada tuhan(ya, aku juga berusaha).
Assalamualaikum....
Jalan Baru
1/22/2010 11:48:00 PG | Author: yus_anakmelayu
Terima kasih kerana membuka jalan.... semoga lebih luas di masa akan datang... :)
Melayu Kuat atas Dasar Apa?
1/01/2010 04:57:00 PG | Author: yus_anakmelayu
Assalamualaikum. Saya terpanggil untuk menulis entri ini atas dua sebab; kejayaan Teater Natrah dan kedua ialah keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan perkataan Allah digunakan dalam akhbar mingguan penganut Kristian katholik.
Saya tidak berpeluang melihat persembahan teater Natrah namun melalui pembacaan, terlalu banyak kritikan yang menyatakan bahawa si pengarah gagal menterjemah Natrah selaku ikon kebangkitan agama Islam sebaliknya agama Islam dilihat seolah-olah tewas ditangan kristian. Dalam teater tersebut Natrah digambarkan akhirnya telah memeluk Kristian walhal secara realiti Natrah merupakan seorang etheis.
Kedudukan Islam juga menjadi mainan agama lain apabila penggunaan perkataan Allah dibenarkan dalam majalah mingguan Harold Catholic Weekly. Permohonan yang dikemukakan oleh ketua paderi, Tan Sri Murphy Pakiam secara peribadi dianggap menghina kedudukan Islam di Malaysia. Tidak dapat dinafikan Perkataan Allah sebenarnya bukan hak eksklusif untuk umat Islam jika kita merujuk kepada konteks negara Asia Barat. Namun, dalam konteks negara Malaysia sangat dikhuatiri perkara ini boleh menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam.
Kedua-dua kes memperlihatkan agama Islam diperlekehkan walaupun dalam konteks yang berbeza. Kes Natrah memperlihatkan agama Islam seolah-olah agama yang lemah walhal ketika isu itu kebangkitan Islam Malaya sangat dahsyat sehingga dikatakan rusuhan yang berlaku adalah yang terbesar bertitik tolak dari sentimen keagamaan. Penggunaan perkataan Allah oleh masyarakat bukan Islam dilihat lebih berani sehingga membawa kepada perdebatan di mahkamah. Lebih buruk, Islam kelihatan seolah-olah tewas apabila Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada majalah Katholik tersebut menggunakan perkataan Allah.
Persoalannya, sukarkah untuk masyarakat Melayu bersatu apabila agama Islam dipermainkan? Saya masih boleh menerima jika isu ini melibatkan perkara yang kecil seperti perebutan kedudukan seperti di Pulau Pinang, tetapi ini melibatkan isu agama yang suci. Seharusnya Islam merupakan faktor utama kekuatan Melayu. Saya sangat sedih apabila orang Melayu di Malaysia terpecah kepada beberapa bahagian atas dasar fahaman politik. Penting sangatkah pendirian anda itu sehingga melebihi kepentingan Islam? Sedar diri bukan alim mahupun berilmu, tetapi tanyalah pada sesiapa jua tiada orang yang tidak sayangkan agama dan bangsanya. Jadi, Melayu sebenarnya kuat atas dasar apa?