http://2.bp.blogspot.com/_sYx8LhsF1y0/STIDKLut6QI/AAAAAAAAAsI/cBo6xn7s-
Islam dalam bentuk kebudayaan perlu digerakkan di Malaysia
11/11/2008 10:33:00 PG | Author: yus_anakmelayu
KUALA LUMPUR, 4 Mac (Hrkh) - Islam Thaqafah atau Islam dalam bentuk kebudayaan sangat sesuai digerakkan dalam konteks realiti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama sekarang, demikian menurut penggiat sastera Mohd Faisal Musa.

Faisal atau dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani berkata, wacana Islam boleh disampaikan dengan lebih kuat dan berkesan sekiranya wacana ilmiah dapat diungkapkan melalui saluran media hiburan seperti filem dan sebagainya.

"Orang ramai perlu mengetahui wacana yang didebatkan dalam usrah, dan seminar kongres, tapi kelompok ini tidak pergi usrah. Jadi, mereka perlu dapatkan ilmu ini daripada media hiburan. Soalnya, sekarang bagaimana kita mahu mengisi wacana ini dalam sastera dan hiburan?
"Masyarakat silam, kalau tidak ke institusi ilmu seperti masjid pun, mereka tetap mendapatkan ilmu daripada sastera gurindam yang mencerminkan penghayatan agama. Kita boleh lihat gurindam dan syair dahulu yang banyak bertemakan kesufian dan berorientasikan keagamaan," kata Faisal.

Tambah Faisal, kelompok sastera tidak boleh hanya mengambil dimensi sastera daripada Barat yang semata-mata mengutamakan bentuk."Jika anda membaca novel Barat, ia hanya sekadar cerita. Formula novel hebat, mesti ada pelacur dan perkara yang berunsurkan seks. Lihat sahaja filem-filem Hollywood. Itu sahaja yang diulang. Mesti ada klimaks, cinta tiga segi dan sebagainya.

"Tapi, sendi kekuatan kita di alam Melayu ialah keilmuan dan wacana. Itulah kekuatan asal kita. Lihat saja puisi agama Hamzah Fansuri, Raja Ali Haji dengan gurindam dua belas. Mungkin pada tahap permulaan, khalayak akan berkata bahawa cara ini membosankan kerana seperti berkhutbah. "Tapi, kita kena ingat bahawa khalayak berhak mengetahui apa itu Tauhid Uluhiyyah, Rububiyyah walaupun mereka tidak ke usrah. Kita pun tahu semua itu sebab kita mengikuti tarbiyyah ini. Sekarang, bagaimana kita mahu sampaikan semua itu melalui saluran yang mereka minati?" katanya.

Mengambil contoh seni tari zapin, Faisal berkata, seni tarian itu asalnya bermula daripada guru agama di Johor. "Dalam tarian itu, ada suatu langkah yang dinamakan Lenggok Ayam Patah. Ia lengkok tak jadi dan tak sempurna lenggoknya. Falsafahnya ialah, jika kita melakukan perkara yang tidak baik, kita kena patah balik kembali semula kepada fitrah asal. Itulah falsafah dalam tarian," kata Faisal.

Tambahnya, Islam thaqafah atau Islam dalam bentuk kebudayaan di alam Melayu perlu diterjemahkan selain Islam dalam bentuk siasah politik dan Islam dalam bentuk pendidikan.
"Sebab itulah gerakan Wali Songo terdahulu membawa mesej Islam dalam bentuk gerakan kebudayaan, kesenian dan kesusasteraan," kata beliau lagi.

Faisal memenangi hadiah sebanyak RM74,000 dalam anugerah Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka pada 23 Februari lalu bagi kategori novel (pertama), novel remaja (pertama) dan cerpen (kedua).
Antara pemenang kategori novel, Azizi Abdullah dan Shahnon Ahmad. Kategori Skrip drama pentas, Siti Jasmina Ibrahim, Mohamad Hatta Azad Khan dan Dahiri Saini. Kategori novel remaja Nurul Salwa Abdul Muluk dan Fatimah Syarha Mohd Noordin. Kategori cerpen, Baharin Ramly dan Ahmad Syuhaimi Adnan. Kategori puisi, Jamaludin Darus, Ali Bukhari Amir dan Sharunizam Abdul Talib. - mns_
|
This entry was posted on 11/11/2008 10:33:00 PG and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 Pandangan Sahabat Laman: